Monday, January 10, 2011

Kasih seorang ayah.


Tahun ini umur ayah 63 tahun. Alhamdulillah, Allah mengurniakan kesihatan yang baik buat Ayah. Walaupun hujung minggu yang lalu semasa berkunjung ke ampang, ayah ada menyatakan tentang bahu yang sudah mula sakit-sakit tapi tidaklah terlalu ketara.”Itu adalah tanda peningkatan usia”, kata ayah. “Itu juga tanda kasih sayang Allah kan”, aku mengingatkan diri sendiri tanpa suara. Walau tanpa kita sedari, masa berlalu dengan begitu cepat yang tidak mampu dengan kudrat yang kita ada untuk menahannya. Walau apapun yang terjadi pada hari ini, masa akan tetap meninggalkan kita. Tahun depan umur pasti meningkat lagi.

Ayahku seorang yang penyayang, mengerti dan prihatin dalam diam. Dulu, sewaktu aku masih belajar di sekolah asrama, ayah pernah menghantar surat dan kad ucapan hari lahir yang dititipkan bersama pesanan dan azimat keramat. Semasa di sana, ayah cuma datang 3 kali dalam tempoh 2 tahun mengajianku di sana. Kalau dibandingkan dengan adik-beradik yang lain, mereka lebih beruntung. Mungkin kerana jarak sekolahku yang agak jauh. Walaupun adik beradikku 9 orang, kami tidak pernah merasa kekurangan. Ayah bijak dalam menggunakan pendekatan yang berbeza-beza mengikut personality kami yang pelbagai.Itulah yang menyebabkan kami selalu merasa dekat dengan ayah. Setiap kali aku menghulurkan duit bulanan pada ayah, selain dari ucapan terima kasih, ayah akan mencium wang dengan senyuman dan menampakkan gigi. Halus dan tulus. Satu perasan berbaur-baru kurasai. Ayah tak pernah meminta-minta. Ayah tidak pernah mengharapkan apa-apa dari kami adik beradik. Walaupun di hari jadinya kerana itulah yang terjadi. . Itu juga pesanan ayah pada adik-adikku. Semoga jangan mengharap apa-apa hadiah dari sesiapapun. Jujurnya aku tidak tahu apakah yang sesuai untuk diberikan pada ayah. Sudahnya, aku cuma memasak hidangan istimewa untuk ayah dan mak sewaktu mereka pulang dari Taiping. ”macam makan dekat hotel”, puji ayah. Sehingga aku rasa berada di awang-awangan.

Disebalik didikan dan kasih sayang dari seorang ayah, terdapat rasa hormat yang mendalam dirasai dalam hati saya. Itu juga mungkin dirasai oleh adik beradik kami yang lain. Rasa itu mungkin timbul kerana ayah mengajar kami membaca mengenal kitab suci alquran. Sabar dan tekun dalam mengajar kami setiap kali waktu maghrib tiba walaupun di celah-celah kesibukan dan kepenatan berkerja seharian di pejabat. Walau tidak dinafikan terdapat cubitan yang hinggap di sana sini tapi kami akur. Dahulu, sering rasa tidak puas hati. Tapi kini, kami sedar ayah sekadar ingin mendidik. Tapi, adik kami yang paling bongsu sekali paling beruntung kerana ayah lebih sabar dan tidak lagi memberi cubitan. Tapi, suara ayah mengajar mengaji masih kuat seperti selalu.

Terima kasih Allah kerana memberikan aku kebahagian ini. Walaupun bersifat sementara tapi benarkan ianya berpanjangan untuk lebih lama lagi kerana kami masih lagi mahu terus merasakan kasih sayang ayah. Sesungguhnya ia tidak akan terbalas segala jasa ayah walau kehujung nyawaku nanti akan tetapi daku akan selalu memohon agar ayah selalu redha dengan anak-anakmu dan bahagia sepanjang hayat di dunia dan akhirat. Terima Kasih ayah. Mudah-mudahan angah akan terus diberikan kesempatan untuk membahagiakanmu sehingga ke akhir hayatmu nanti. Amin.

No comments: